Friday 18 September 2015

Post terakhir saya…







Kehidupan ini penuh dengan kegembiraan, kedukaan dan dugaan dari Allah s.w.t. Ujian yang diberikan adalah untuk hamba-hambaNya yang terpilih sahaja. Bukan sebagai tanda seksaan dariNya tetapi tanda sayang dan ingatan Allah s.w.t. kepada hambaNya. Setiap hambaNya pasti akan menerima ujian dariNya. Hanya bentuk dan tahap ujian itu berbeza-beza. Inilah kisah saya dan isteri serta keluarga saya.

31032012
Tarikh perkahwinan saya dan isteri tersayang, Nor Hidayah Mohd Kamarulbhrin. Hanya perkenalan singkat telah membawa kami bersatu menjadi suami isteri yang sah. Hidayah, seorang isteri yang amat penyayang dan taat kepada saya. Walaupun dalam usia yang muda, isteriku dapat melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri dengan sempurna. Hidup kami berdua amat harmoni dan gembira. Betullah orang tua-tua kata, bercinta selepas bernikah ini lagi menggembirakan a.k.a ‘best’. Kegembiraan dan kebahagiaan ini bertambah lagi pada November 2013 apabila isteriku disahkan mengandung anak pertama kami. Saya terlalu gembira dengan berita ini. Alhamdulillah. Siapa tak gembira dengan kehadiran zuriat dalam hidup? Betul tak?

15062013

Lahirnya permata hati Ummi dan Walid, Hania Syakira (tq Ust Wan Akashah dan Ustzh pilih nama). Lahir 26 minggu. Berat 700 gram. Walaupun begitu, hanya 8 hari sahaja Allah s.w.t. berikan waktu untuk kita bersama. 22 Jun 2013 Hania pergi meninggalkan Ummi dan Walid. Rasa seperti semalam kita berjumpa sayang. Walid dan Ummi rindu sangat dengan Hania. Semoga Hania gembira bersama bidadari syurga. Semoga Allah s.w.t. ketemukan kita kelak sayang. Sungguh berat dugaan yang Allah s.w.t. uji pada saya dan isteri waktu ini. Saya dan isteri perlu kuat untuk teruskan kehidupan kami.


31122014
Lahirnya permata hati kedua Ummi dan Walid. Hilman Shakir (tq Ust Wan Akashah dan Ustzh pilih nama). Terima kasih Allah s.w.t. berikan kami rezeki ini. Lahir 25 minggu. Berat 825 gram. Alhamdulillah, Hilman sehingga hari dan saat ini kuat dan membesar dengan sehat. Walaupun masih di NICU Hospital Putrajaya (7 bulan di HPJ dan 1 bulan di HKL) Ummi dan Walid sentiasa doakan Hilman cepat sembuh dan dapat balik ke rumah. Ujian kedua dalam hidup kami suami isteri. Walaupun begitu, kami hadapinya dengan cukup positif. Alhamdulillah kami dapat terima Qada' dan Qadar ini dengan tenang. Kalau nak ceritakan komplikasi-komplikasi yang Hilman atasi cukup banyak. Cukuplah sekadar saya beritahu yang Hilman kuat untuk hadapi semua ini. Walaupun tidak seperti anak-anak orang lain, Hilman, amanah dari Allah s.w.t. ini akan Walid dan Ummi jaga sehingga akhir hayat.



Inilah kisah hidup saya suami isteri. Pohon kepada sesiapa yang membaca blog saya ini dapat mendoakan agar Hilman Shakir sehat dan dapat menikmati kehidupan seperti kanak-kanak lain di luar sana dan sedekahkan Al-Fatihah kepada arwah anak saya Hania Syakira. 

Ujian Allah s.w.t. diberi dalam pelbagai cara dan bentuk. Mungkin ini ujian untuk Allah s.w.t. uji saya dan isteri dan mungkin ini juga adalah permulaan untuk rezeki kami sekeluarga. Hanya Allah s.w.t. sahaja yang tahu sebab tersebut. Kita sebagai hambaNya perlu patuh dengan segala perintahNya dan redha dengan segala ketentuanNya. 

Sekian, diharap semua post saya ini memberi manfaat kepada anda semua.


No comments:

Post a Comment