Ujian Dari Allah Buat Hambanya
Hari terus berganti hari. Kehidupan manusia juga
terus berjalan pantas seiring dengan masa yang pantas berlari. Di celah-celah
hari berwarna-warni yang di jalani dan ditelusuri, tanpa disedari atau tidak, manusia sebenarnya telahpun menempuh pelbagai ujian dan dugaan
duniawi. Ujian-ujian yang diberi oleh Allah itu datang menyapa silih berganti
dalam pelbagai bentuk dan rupa. Setiap orang diuji olah Allah berbeza-beza
mengikut tahap kemampuannya.
“ Allah tidak membebani seseorang melainkan apa
yang terdaya olehnya, ia mendapat pahala kebajikan yang diusahakannya dan ia
juga menanggung dosa kejahatan yang dilakukannya… ( Al-Baqarah: 286)
ALLAH telah menyatakan dengan jelas di dalam
Al-Quran bahawa DIA tidak akan sekali-kali menguji hambaNya diluar kemampuan
hambaNya. ALLAH mengetahui kita kuat
dalam menghadapi ujianNya, oleh kerana itu
ALLAH memberikan ujian itu ke
atas diri kita. Di sini kita dapat lihat betapa sayang dan kasihnya ALLAH
kepada kita sebagai hambaNya. ALLAH menguji seseorang bukan kerana ALLAH benci
kepada kita tetapi percayalah ALLAH
menguji kita kerana DIA sangat kasih kepada kita. Cuma kita sebagai hambaNya,
adakala tidak mampu bertahan dan bersabar dalam menghadapi ujianNya.
Hakikatnya saat ini, saat kita sedang mengecapi
bahagia, ada berjuta manusia di luar sana yang sedang dihujani ujian atau
dihimpit pelbagai derita. Ada di kalangan
manusia di luar sana yang saat ini sedang diuji dengan kehilangan orang
tersayang. Tidak kurang juga ada manusia yang diuji apabila apa yang diingini dan
diharapkan tidak terjadi dan diberi.
“ Kenapa aku yang diuji ? “
“ Mengapa aku diuji sebegini ?”
“ Ujian ini sangat berat. Aku tak mampu…”
Mungkin ini adalah antara persoalan dan keluhan
yang meniti di bibir atau berlegar di fikiran kita sebagai seorang hamba saat
dihimpit dengan secebis ujian. Kadangkala
tanpa sedar dan niat kita
juga terlanjur marah pada DIA kerana
menghujani kita dengan pelbagai ujian.
Tetapi, apabila kita menenangkan diri dan
bermuhasabah kembali, tenyata sebenarnya
dengan ujian yang diberi kita adalah hamba yang beruntung . Mengapa saya
katakan begitu? Kerana ujian hanyalah diberi oleh Allah kepada hamba-hambanya yang
terpilih. Hamba-hambanya yang dikasihi dan disayangiNya. Dan jangan kita lupa
bersama ujian itu juga ada pertolongan dari Allah sepertimana yang dinyatakan
di dalam Al-Quran:
Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk
syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah
berlaku kepada orang-orang yang terdahulu sebelum kamu? mereka telah ditimpa
kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan
(dengan ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang
beriman yang ada bersamanya: “Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?”
Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan
berpegang teguh kepada agama Allah). ( Al-Baqarah: 214)
Sebagai manusia biasa, kita pastinya tidak akan
mampu menjangka bilakah ujian itu akan muncul tiba. Walaubagaimanapun, jika
kita mengetahuinya, apalah kudrat kita sebagai seorang hamba yang kerdil lagi
penuh dosa untuk menolak ujian-ujian yang bakal menyapa itu. Jika direnungkan kembali, kita semua
pastinya pernah dan akan ditimpa ujian dari yang Maha Esa, tetapi saat ujian
itu tiba, mampukah kita menjadi manusia yang bersyukur dengan ujian itu dan
memandangnya sebagai hadiah pemberian Allah?
Manusia itu sifatnya pelupa, Ada masanya dalam
melayari kehidupan di dunia, kita lalai dan leka pada hakikat yang nyata bahwa
kita hanyalah hamba DIA yang Esa. Jadi apakah sebenarnya yang mampu
membangkitkan manusia dari kelalaian dan kealpaan ini? UJIAN. Ya, Ujian. Ujian
atau mehnah yang menjengah dalam kehidupan kita itulah sebenarnya yang mampu
mengejutkan kita dari mimpi dunia yang panjang.
Allah Tuhan yang Maha Mengetahui. Mungkin tanpa
ujian-ujian dan dugaan yang dikirimkan khas oleh DIA untuk kita, kita masih
lagi menjadi seorang hamba yang hanyut dan lemas dalam lautan kelalaian. Apa
yang paling utama sebenarnya adalah “ hadiah ” itu dikirimkan oleh Allah
bertujuan untuk menilai sejauh mana keimanan kita terhadapNya sepertimana yang
dijelaskannya di dalam Al-Quran:
Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan
dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan
sesuatu cubaan)? (Al-Ankabut: 2)
Justeru, marilah kita sama-sama bermuhasabah dan
menilai kembali segala prasangka buruk yang mungkin pernah bermain di fikiran
kita saat kita diuji. Inilah saatnya bagi kita, saya dan anda yang sedang
membaca, merubah fikiran kita dan mula memandang ujian-ujian yang telah dan
akan kita lalui sebagai sebuah ‘ hadiah’ dari Allah dan bukan lagi satu
bebanan. Apabila kita benar-benar menyedari hakikat ini, maka kita akan menjadi
seorang hamba yang bersyukur dengan segala ujian yang diberi.
Pembaca yang dikasihi oleh Allah,
Jika anda saat ini sedang diuji, ingin saya
sampaikan sesungguhnya bersyukur dan berbahagialah anda kerana
UJIAN itu
HADIAH dari ALLAH
No comments:
Post a Comment